Polis buru individu tidak dikenali pecah 12 mesin ATM
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian khianat diburu polis selepas disyaki memecahkan 12 skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM), di sini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Basri Sagoni, memaklumkan pihaknya menerima laporan pertama pada Isnin lalu kira-kira pukul 8.40 pagi daripada seorang juruteknik ATM berusia 38 tahun yang menjalankan kerja penyelenggaraan di cawangan Maybank Jinjang Selatan.
Katanya, pemeriksaan mendapati empat skrin mesin ATM di premis berkenaan retak, dipercayai akibat perbuatan khianat oleh individu tidak dikenali, dengan kerugian dianggarkan sekitar RM4,000.
“Pada keesokan harinya, antara jam 12.24 tengah hari hingga 10.16 malam, polis menerima empat lagi laporan berkaitan kejadian sama, iaitu dua kes di cawangan Maybank Jinjang Selatan dan satu kes di cawangan RHB Bank Jinjang Utara.
“Modus operandi suspek adalah masuk ke ruang kaunter bank sebelum memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu dan melarikan diri. Setakat ini, tiada unsur jenayah lain dikenal pasti
“Jumlah kerugian dianggarkan bernilai lebih kurang RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai ciri fizikal suspek, Basri berkata, suspek dipercayai seorang lelaki yang belum dikenal pasti, berketinggian kira-kira 165 sentimeter, berbadan sederhana dan berkulit cerah.
“Ketika kejadian, suspek memakai kemeja lengan pendek berwarna kelabu, seluar panjang, selipar hitam serta topi keledar biru.
“Suspek dipercayai menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru dengan nombor pendaftaran yang masih belum dikenal pasti,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








