Kontena disyaki bawa dagangan untuk dieksport ke Israel disita
KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, selepas disyaki membawa dagangan yang akan dieksport ke Israel, semalam.
Tindakan itu dilakukan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap kontena berkenaan.
AKPS dalam satu kenyataan kepada media berkata, semakan awal mendapati penghantaran berkenaan disyaki melanggar Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.
“Ia termasuk menentukan sama ada barangan itu adalah barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan perundangan subsidiari yang berkaitan,” kata agensi itu.
Dalam pada itu, AKPS menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan dasar, sekatan dan undang-undang negara berkaitan Israel.
Menurutnya, pendirian kerajaan dalam perkara itu kekal jelas dan konsisten.
“Sebarang percubaan untuk mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








