BERITA SEMASA

‘Rakyat Palestin ada hak kembali ke kediaman mereka yang dirampas’

CYBERJAYA – Kerajaan Malaysia menggesa supaya pertempuran di antara Palestin dan Israel segera dihentikan bagi mengelakkan lebih banyak kemusnahan dan kehilangan nyawa.

“Pada waktu kritikal ini, kehilangan nyawa, penderitaan dan kemusnahan selanjutnya perlu dihentikan dan pihak terlibat perlu mengawal tindakan mereka,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut, sudah sampai masanya kedua-dua pihak perlu mengakui punca utama kepada konflik tersebut yang perlu diatasi segera.

“Rakyat Palestin sudah terlalu lama sengsara dengan penaklukan berpanjangan, sekatan, dan pencabulan terhadap (Masjid) al-Aqsa, dan politik nyahmilik yang diamalkan Israel sebagai penjajah.

“Mereka mempunyai hak perundangan yang sah untuk tinggal dalam sempadan negara yang diiktiraf sejak sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Sebagai penduduk asal, mereka turut mempunyai hak untuk kembali ke kediaman dan tanah mereka yang dirampas,” kata kenyataan itu lagi.

Wisma Putra seterusnya menyelar rejim Israel kerana tindakan tidak konsisten mereka dalam menegakkan prinsip antarabangsa dalam berhadapan dengan pentadbiran yang bersikap apartheid.

“(Israel) Tidak sepatutnya berat sebelah dan mengamalkan hipokrasi ketika berdepan dengan mana-mana rejim yang mengamalkan apartheid dan terang-terangan melanggar hak asasi manusia dan melanggar undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.

Wsiam Putra seterusnya menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya mengadakan sesi kecemasan bagi meminta semua pihak terlibat dalam konflik berkenaan supaya menhentikan keganasan bagi menghormati dan melindungi keselamatan orang awam yang tidak bersalah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button