LUAR NEGARA

27 wartawan maut dalam serangan Israel di Lubnan sejak Mac

ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 27 wartawan dilaporkan terbunuh dalam siri serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lalu, menurut kenyataan kesatuan media tempatan yang memetik laporan agensi berita Anadolu, semalam.

Lebanese Press Syndicate Editors dalam kenyataannya mengecam tindakan terbaharu yang menyasarkan sekumpulan wartawan di Tayri, selatan Lubnan, kelmarin.

Serangan itu mengorbankan wartawan Amal Khalil, manakala rakan sekerjanya, Zeinab Faraj dilaporkan cedera.

Kesatuan itu turut mendedahkan bahawa Amal sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh daripada tentera Israel.

“Dengan kematian beliau, jumlah wartawan dan petugas media yang terbunuh kini meningkat kepada 27 orang, selain ramai lagi yang cedera,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam masa sama, kesatuan itu menggesa Persekutuan Wartawan Arab serta organisasi media antarabangsa lain agar bekerjasama dalam menyokong wartawan di Lubnan yang berdepan serangan disengajakan.

Wartawan yang masih bertugas di lapangan turut dinasihatkan supaya meningkatkan langkah keselamatan termasuk mengelakkan kawasan berisiko tinggi serta bekerjasama dengan pasukan keselamatan rasmi.

Ini termasuk Tentera Lubnan, UNIFIL serta Palang Merah Lubnan bagi mengurangkan risiko keselamatan.

Kesatuan itu turut menegaskan bahawa tindakan Israel terhadap orang awam, khususnya wartawan, telah ‘melampaui semua batas’ dan menggesa kerajaan Lubnan mengambil tindakan segera di peringkat antarabangsa termasuk memfailkan kes undang-undang.

Menurut National News Agency, dalam insiden serangan pada Rabu itu, tentera Israel didakwa menghalang pasukan penyelamat daripada menghampiri mangsa serta menyasarkan laluan antara Tayri dan Haddatha bagi menghalang operasi bantuan.

Sejak awal Mac, serangan berterusan di Lubnan dilaporkan telah mengorbankan 2,475 orang, mencederakan 7,696 yang lain serta menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, gencatan senjata selama 10 hari yang diumumkan oleh Amerika Syarikat pada 16 April dijangka berakhir Ahad ini, namun dilaporkan terus dilanggar hampir setiap hari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button