LUAR NEGARA

Empat anggota tentera maut, 39 cedera dalam letupan di pangkalan Kanada

CALGARY – Empat anggota tentera terbunuh manakala 39 lagi cedera dalam kebakaran besar di Pangkalan Angkatan Tentera Kanada (CFB) Wainwright, Alberta, yang dipercayai berpunca daripada letupan selepas peluru artileri mengenai telaga gas asli yang masih aktif.

Daripada jumlah anggota yang cedera, 19 dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke hospital di beberapa bandar berhampiran, termasuk Edmonton, Calgary dan Red Deer.

Menurut maklumat daripada sumber tempatan, anggota tentera terbabit sedang menjalani latihan tembakan artileri yang berlangsung selama beberapa hari sebelum insiden berlaku di kawasan latihan berkenaan.

Peluru artileri itu didakwa mengenai telaga gas asli aktif sehingga mencetuskan letupan besar yang memusnahkan bangunan latihan taktikal berhampiran.

Letupan berkenaan turut dipercayai mencetuskan kebakaran belukar yang merebak ke kawasan penyimpanan peluru, sebelum beberapa letupan susulan berlaku di kawasan latihan.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian itu belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Kanada.

CFB Wainwright mempunyai sejarah aktiviti pengeluaran gas asli, dengan kira-kira 180 telaga pernah dilaporkan berada di kawasan pangkalan itu pada 2014.

Peta kawasan latihan tentera juga dikatakan menunjukkan kewujudan kemudahan penyimpanan peluru, saluran paip dan zon bahaya latihan tembakan berhampiran Peterson Pond.

Sementara itu, data satelit NASA Fire Information for Resource Management System (FIRMS) dilaporkan mengesan beberapa titik panas antara Peterson Pond dengan Jamieson Lake pada 17 Oktober.

Kebakaran yang bermula kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan pada Sabtu itu merebak dengan pantas susulan tiupan angin kencang.

Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa kerana api merebak dengan begitu pantas, sesuatu yang belum pernah disaksikannya sebelum ini.

Pasukan bomba awam dan tentera bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sepanjang malam dalam keadaan cuaca yang mencabar.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyifatkan tragedi itu sebagai antara bencana paling buruk dalam sejarah angkatan tentera negara itu, selain mengarahkan bendera di bangunan Persekutuan dikibarkan separuh tiang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button