Lelaki 57 tahun maut diserang buaya ketika cuci bot
KINABATANGAN – Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika mencuci bot di Sungai Kampung Batu Putih, di sini, awal pagi hari ini.
Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan diserang reptilia berkenaan dengan kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.31 petang semalam sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 42 kilometer dari balai.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat saksi yang juga anak mangsa, kejadian berlaku ketika mereka sedang mencuci bot di tebing sungai sebelum mangsa tiba-tiba dibaham seekor buaya dan hilang daripada pandangan.
“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebaik anggota tiba di lokasi, namun terpaksa dihentikan pada pukul 8.45 malam berikutan keadaan gelap sebelum disambung semula pagi tadi.
“Pada pukul 4.45 pagi, Komander Operasi dimaklumkan mangsa telah ditemukan oleh penduduk kira-kira 500 meter ke hilir sungai dari lokasi dia dibaham buaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati keadaan anggota badan mangsa masih sempurna, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
Katanya, pasukan bomba kemudian membantu membawa mayat mangsa dari tebing sungai ke rumah keluarganya sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi sebarang ancaman atau bahaya di lokasi kejadian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















