Mayat nelayan hilang ditemui, operasi SAR ditamatkan
KLANG – Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang sejak 17 Mei lalu ditamatkan selepas mayat mangsa berjaya ditemui di perairan Kapar, di sini, semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, mangsa dipercayai hilang selepas bot fiber yang dinaiki bersama dua rakan dirempuh sebuah vesel nelayan tempatan.
“Insiden berlaku ketika mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan. Dua mangsa berjaya diselamatkan, namun seorang lagi gagal dikesan sehingga operasi pagi ini.
“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung pada pukul 8.35 pagi oleh sekumpulan nelayan tempatan yang turut serta dalam usaha pencarian.
“Lokasi penemuan adalah kira-kira 4.6 batu nautika dari perairan Hydro Kapar. Usaha nelayan yang membantu amat kami hargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Nelayan Sementa pada pukul 10.05 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dua rakan mangsa yang terselamat diberikan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini selepas mengalami kecederaan ringan dan keletihan.
“Mereka dalam keadaan stabil dan menerima pemantauan daripada pihak hospital,” ujar Abdul Muhaimin.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang berada di laut.
“Kami menyeru semua penggiat aktiviti laut agar menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai amalan wajib, bukan pilihan,” tegasnya.
Maritim Malaysia juga menasihatkan orang ramai untuk segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan, jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Malaysia yang berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








