BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bayi tujuh bulan maut, ibu angkat positif dadah ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan ditemukan maut dalam keadaan mencurigakan di sebuah unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, susulan itu ibu angkat bayi berkenaan yang disahkan positif dadah ditahan bersama suaminya bagi membantu siasatan.

“Keputusan awal saringan air kencing mendapati suspek wanita positif dadah. Walau bagaimanapun, semakan lanjut menunjukkan pasangan terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pasangan suami isteri berusia 38 dan 50 tahun itu merupakan ibu bapa angkat kepada bayi terbabit.

“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah diserahkan oleh ibu kandungnya kepada pasangan tersebut sebelum wanita itu pulang ke Indonesia pada 18 Jun lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button