Wanita Australia maut terjatuh dari tebing pantai Nusa Penida
BALI – Seorang wanita warga Australia berusia 29 tahun maut selepas terjatuh dari tebing di Pantai Kelingking, destinasi pelancongan popular di Nusa Penida, Bali, pada Sabtu lalu.
Mangsa dari Queensland itu ditemukan telah meninggal dunia oleh pasukan penyelamat dalam keadaan tersepit di bahagian tebing.
Penyelaras Unit Siaga Nusa Penida, Cakra Negara berkata, mangsa dipercayai terjatuh kira-kira pukul 9 pagi ketika cuba mencari laluan sendiri menuju ke pinggir tebing sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung.
āKetika ditemui, mangsa mengalami beberapa patah tulang dan kami mengikatnya pada pengusung bagi memudahkan proses pemindahan,ā katanya seperti dilaporkan berita antarabangsa.
Pantai Kelingking terkenal dengan pemandangan panoramik dari tebing pantai setinggi kira-kira 180 meter, manakala laluan menuju ke pantai tersebut dikenali berbahaya dan boleh mengambil masa sehingga dua jam.
Pihak berkuasa juga melarang aktiviti berenang di pantai berkenaan yang turut dikenali sebagai T-Rex Bay berikutan arus yang kuat.
Ia turut menjadi perhatian antarabangsa susulan pembinaan lif kaca setinggi 182 meter yang dimulakan di tebing berkenaan tahun lalu.
Projek itu kemudian mendapat bantahan penduduk tempatan, ahli politik dan pelancong kerana dianggap menjejaskan pemandangan semula jadi kawasan berkenaan.
Gabenor Bali pada November lalu mengarahkan struktur itu dirobohkan dalam tempoh enam bulan, namun pertikaian undang-undang masih berlarutan dan rangka besi binaan berkenaan masih melekat pada tebing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







