Pelancong Australia hilang di Gunung Santubong, SAR berdepan laluan sukar
KUCHING – Seorang wanita warga Australia dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh ketika menuruni Gunung Santubong, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Belinda Lapier dilaporkan berdepan kesukaran selepas keluar daripada laluan pendakian asal di kawasan F7 gunung berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.20 malam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
“Setibanya di kaki gunung pada 9.43 malam, renjer hutan memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ketika turun dari puncak.
“Pada pukul 5 petang, renjer hutan berjaya menghubungi mangsa dan menjalankan pencarian di lokasi terakhir, namun hanya suara mangsa dapat didengar tanpa dapat mengesan kedudukan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan dengan tumpuan di kawasan F7 melibatkan pasukan bomba, renjer hutan dan polis.
Menurutnya, pada pukul 12.15 tengah malam, komander operasi melaporkan pencarian di lokasi terakhir masih gagal menemukan mangsa sebelum operasi dialihkan ke kawasan kebun berhampiran.
“Perkembangan positif diperoleh pada 12.48 tengah malam apabila mangsa berjaya dihubungi semula dan memberikan lokasi terkini.
“Susulan itu, lima anggota bomba bersama lima renjer hutan dan seorang anggota polis bergerak ke lokasi mangsa melalui laluan ‘off-trail’ selepas dipercayai wanita itu tersasar dari trek asal.
“Bagaimanapun, pada 2 pagi, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi mangsa berikutan halangan batu besar dan pokok tumbang,” katanya.
Mangsa yang berjaya dihubungi memaklumkan berada dalam keadaan selamat, namun tidak dapat keluar dari kawasan tersebut.
“Operasi menyelamat diteruskan namun laluan yang sukar serta keadaan gelap menyukarkan pergerakan.
“Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 3.30 pagi dan akan disambung semula hari ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















