BERITA SEMASA

PM doakan kesembuhan Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

Menerusi hantaran ringkas di platform Threads hari ini, Anwar berkata beliau mendoakan agar Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu lekas sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik.

“Salam saudara, saya doakan agar saudara lekas sembuh dan diberikan aafiyah,” tulisnya.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan beliau tidak sedarkan diri sehingga jam 6 petang selepas tiba-tiba pengsan ketika sedang menyiapkan latihan kerja sekolah anaknya pada awal pagi tadi.

Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan dirinya kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan kecemasan.

“Assalamualaikum, salam sejahtera. Saya kini berada di HKL untuk jalani pemeriksaan dan rawatan mengejut.

“Pada awal pagi tadi ketika saya sedang siapkan latihan kerja sekolah anak tiba-tiba saya tidak sedarkan diri sama sekali sampailah jam 6 petang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau dijadual menjalani pemeriksaan imbasan CT bagi mendapatkan penilaian lanjut berhubung keadaan kesihatannya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan keselamatannya.

Sementara itu, Setiausaha Peribadinya, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin sebelum ini memaklumkan Wan Ahmad Fayhsal dimasukkan ke HKL untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, doktor menasihatkan Ahli Parlimen Machang itu supaya berehat sehingga pulih sepenuhnya serta memohon orang ramai mendoakan kesembuhannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button