BERITA SEMASA

8,500 penerima termasuk pelajar terima sumbangan Ko-Khawan

BUKIT MERTAJAM – Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia menghulurkan sumbangan kepada 8,500 penerima termasuk pelajar sekolah.

Program tersebut yang julung kalinya diadakan secara berskala besar di Parlimen Permatang Pauh disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon berkata, kehadiran Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

“Sumbangan diberikan merupakan barangan persekolahan kepada 2,000 pelajar serta barangan keperluan dapur untuk 6,500 keluarga B40.

“Sebagai penganjur, kami amat terharu dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh pemimpin peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini.

“Ia membuktikan bahawa kedua-dua Perdana Menteri dan Ketua Menteri mempunyai matlamat yang sama dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Ditubuhkan tahun lepas, Yayasan Muhibah Malaysia merupakan hasil inisiatif Ko-khawan yang mempunyai 300 ahli dengan misi utama untuk membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar daripada golongan B40.

Beliau berkata, fokus mereka tahun lepas adalah menyediakan bantuan berkaitan pendidikan seperti uniform sekolah, komputer, yuran tuisyen dan program pembelajaran dalam talian kepada 1,000 pelajar di seluruh negara.

“Bantuan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan akademik walaupun berhadapan cabaran hidup akibat kemiskinan,” katanya.

Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon berbual bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mengenai program tersebut, beliau berkata, para pelajar sekolah rendah dan menengah B40 serta anak yatim menerima beg dan uniform sekolah serta alat tulis bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat.

Manakala setiap keluarga B40 pula menerima barangan dapur dan keperluan asas harian dengan nilai setiap sumbangan dianggarkan RM100.

“Kami tidak hanya memberikan bantuan material, tetapi juga kasih sayang dan harapan,” katanya. 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button