PM umum peruntukan tambahan RM200 juta untuk perkasa TVET
BANTING – Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM200 juta bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Kemahiran Negara, selain Majlis TVET Negara bertanggungjawab menentukan bidang keutamaannya.
“Saya harap setinggi-tingginya dengan anak-anak TVET, pelatih, pensyarah serta tenaga pengajar supaya lihat TVET mengikut kaca mata ‘teropong baharu’… bahawa TVET akan menentukan Malaysia terangkat sebagai negara hebat, industri berteknologi tinggi dan (pakar) kecerdasan buatan (AI) pada masa depan.
“Saudara dan anak-anak yang akan menentukan sama ada kita punyai keupayaan itu,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, peruntukan itu bakal memanfaatkan kira-kira seramai 13,000 orang pelajar TVET.
Beliau turut meluluskan dua lagi cadangan dilontarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan Program Minggu TVET atau Sambutan Hari TVET di peringkat sekolah.
Ia bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih terperinci kepada pelajar berkenaan TVET sebelum mereka melangkah keluar dari alam persekolahan.
Selain itu, beliau turut menerima cadangan untuk diadakan lebih banyak segmen khusus seperti TeknoUsahawan, TVET Tahfiz termasuk untuk lebih capaian segmen masyarakat lain seperti TVET Orang Asli, TVET orang kurang upaya (OKU), pelajar TVET Orang Asal di Sabah dan Sarawak serta anak muda di luar bandar.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








