PM kecam serangan ke atas wartawan sukan – Fahmi
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kejadian serangan ke atas wartawan sukan, Haresh Deol, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Anwar menegaskan insiden sedemikian tidak seharusnya berlaku kepada mana-mana wartawan.
“Ketika mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri menzahirkan kecaman terhadap tindakan beberapa individu yang menyerang seorang wartawan kanan bernama Haresh Deol.
“Kejadian itu tidak patut berlaku kepada mana-mana wartawan terutama ketika mereka sedang menjalankan tugas,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu, Haresh yang juga pengasas organisasi berita Twentytwo13, diserang dua lelaki berpakaian hitam di Bangsar.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata serangan itu mungkin berpunca daripada perselisihan peribadi membabitkan isteri suspek dan penyerang dipercayai tersalah orang.
Fadil turut mengesahkan suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan beberapa kesalahan lampau.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan berhubung kes terbabit.
“Saya percaya pihak PDRM ada mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai salah seorang yang telah ditahan. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasatan terbabit,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








