PMX

Anwar adakan pertemuan dengan Ismail Haniyeh, desak Israel hentikan serangan di Rafah

DOHA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Anwar berkata, beliau turut menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

Kata beliau, sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis.

“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah.

“Lebih-lebih lagi menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Sementara itu, Malaysia menghargai kesediaan Hamas dalam membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa, kata Anwar.

“Pada masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button