Trump hadir ke Malaysia bermula esok
PUTRAJAYA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula esok hingga Ahad ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.
Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, beliau hadir atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Menurutnya, ini merupakan lawatan pertama Trump ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lepas.
Anwar dan Trump dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat dua hala pada 26 Oktober.
“Perdana Menteri dan Trump dijadual untuk mengadakan mesyuarat dua hala pada 26 Oktober ini.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan serta hubungan antara rakyat, selaras dengan Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, serta menandatangani beberapa dokumen penting yang meliputi bidang perdagangan dan keselamatan.
Katanya, lawatan rasmi itu diharapkan dapat memperkukuh lagi hubungan antara Malaysia dan AS, serta membuka lembaran baharu ke arah peningkatan tahap hubungan dua hala yang lebih strategik.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957.
AS merupakan antara rakan dagang serta pelabur terbesar Malaysia, dengan nilai dagangan pada tahun 2024 berjumlah RM324.91 bilion (USD71.39 bilion).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








