PRN Melaka: PH perkasa kempen hujung minggu, sasar lebih ramai pengundi Melaka
AYER KEROH – Jentera Pakatan Harapan (PH) Melaka diminta meningkatkan usaha mendekati pengundi sepanjang hujung minggu ini bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat penerangan mengenai tawaran parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, tempoh Sabtu dan Ahad perlu dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi gerak kerja turun padang, termasuk menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
Menurutnya, tumpuan kempen ketika ini adalah untuk memperincikan tiga fokus utama serta 12 inisiatif yang terkandung dalam manifesto PH bertemakan ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’.
“Memasuki hari kelapan kempen, kita tahu bahawa hujung minggu, Sabtu dan Ahad, peningkatan kepada jentera kita untuk lebih menyantuni, lebih ramai lagi pengundi kita dalam melalui gerak kerja apa yang kita panggil sebagai get out the votes (GOTV),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Adly yang juga Naib Presiden AMANAH mengingatkan semua petugas parti supaya menjalankan aktiviti kempen secara berhemah dengan mengambil kira persiapan keluarga yang bakal menyambut Deepavali.
Katanya, usaha mendapatkan sokongan pengundi perlu dilaksanakan dengan menghormati masa dan ruang peribadi masyarakat, khususnya mereka yang sedang membuat persiapan perayaan.
Beliau berkata, PH akan meneruskan usaha menjelaskan tawaran manifesto kepada rakyat sepanjang baki tempoh kempen, dengan memberi penekanan kepada agenda perumahan, kebajikan serta pembangunan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














