BERITA SEMASA

Cuepacs hargai keprihatinan PM terhadap kebajikan pesara kerajaan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dia atas keprihatinan beliau terhadap kebajikan golongan pesara kerajaan.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, keputusan kerajaan untk memberi bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), merupakan langkah tepat bagi membantu golongan pesara yang turut terkesan dengan kos sara hidup semasa.

“PKKP yang diumumkan kerajaan membawa maksud bahawa bayaran kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus yang dinikmati sebelum ini dikekalkan. Ini adalah wajar memandangkan pencen golongan pesara tidak tinggi.

“Kita berharap bayaran dua peratus itu terus dikekalkan sehingga pelarasan gaji dilakukan. Apabila pelarasan dibuat, sekiranya kenaikan pencen pesara di bawah dua peratus, diharap kerajaan dapat mengekalkannya manakala jika melebihi dua peratus, kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan yang lebih tinggi,” kata Adnan, hari ini.

Beliau menambah, berkata langkah itu akan memanfaatkan kira-kira 720,000 pesara kerajaan.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayaran itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Perdana Menteri berkata ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baharu dan melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button