BERITA SEMASAPMX

Ramadan madrasah bentuk sahsiah generasi muda, mahasiswa – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Ramadan adalah ‘madrasah terbaik’ dalam membentuk sahsiah dan integriti generasi muda ketika berbuka puasa bersama mahasiswa di Kompleks Seri Perdana, di sini malam tadi.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau memaklumkan majlis itu menghimpunkan mahasiswa universiti awam dan swasta, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) serta Politeknik dalam suasana penuh ukhwah dan kesederhanaan.

Menurut Anwar, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, malah menjadi ruang pendidikan rohani yang membentuk sahsiah, memperkukuh nilai takwa dan memupuk integriti.

“Dalam mendepani cabaran zaman pascanornal, saya menyeru mahasiswa agar menjadikan nilai ini sebagai kompas moral selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri turut menekankan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, beradab dan berdaya cipta, termasuk menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan bidang STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).

“Anak muda perlu berani menjadi pencipta pekerjaan bukan sekadar pencari kerja selain pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerangka Strategic TVET Advancement and Reform (STAR) turut menjadi tumpuan dalam memastikan pendidikan negara terus relevan dan nklusif,” katanya.

Usai solat Maghrib berjemaah, Perdana Menteri turut menyampaikan tazkirah ringkas dan berkongsi nasihat kepada para mahasiswa, menyeru mereka agar memanfaatkan Ramadan sebagai medan memperkukuh tekad dan idealisme dalam membina masa depan negara.

“Semoga Ramadan ini memperteguh tekad kita membina Malaysia yang lebih maju dan berintegriti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button