AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Ekonomi hidrogen mampu jana pendapatan negara hingga RM12 bilion menjelang 2030

PUTRAJAYA – Negara dijangka mampu menjana pendapatan hingga RM12 bilion melalui ekonomi hidrogen menjelang 2030, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Menurut Lih Kang, memandangkan sektor tersebut masih baharu di Malaysia, usaha kerajaan pada masa ini adalah untuk membangunkan ekosistem ekonomi hidrogen dengan mencipta permintaan dan penawaran terlebih dahulu.

“Kita harap akan mendapat manfaat daripada ekonomi hidrogen ini melalui eksport hidrogen hijau, selain melihat kepada kerjasama dengan sektor swasta bagi membantu Malaysia mewujudkan persekitaran ekonomi hidrogen yang kukuh.

“Pada masa sama, ini juga adalah sasaran kita untuk mencapai penyahkarbonan global menjelang 2050,” katanya pada sidang media selepas Sesi Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan kenderaan Toyota Mirai di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MHRU merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil dan Ia juga bersifat mudah-alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.

Kereta Toyota Mirai.

Bagi kenderaan Toyota Mirai pula, ia adalah kenderaan jenis elektrik sel bahan api (FCEV) yang menjana elektrik menggunakan hidrogen bagi memacu kenderaan dengan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon.

Tambah Lih Kang, hanya Sarawak yang mempunyai teknologi penjanaan hidrogen hijau dan lima Toyota Mirai, kenderaan jenis FCEV yang menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan.

Jelas beliau, Toyota Mirai yang dilancarkan Perdana Menteri hari ini, adalah yang pertama di Semenanjung.

“Kenderaan ini mempunyai beberapa kelebihan, antaranya masa pengisian penuh hidrogen yang pendek, iaitu antara tiga hingga lima minit dengan jarak perjalanan lebih jauh, iaitu 700 ke 1,000 kilometer (km) bagi setiap pengisian, selain lebih ringan berbanding kenderaan elektrik (EV) lain” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button