Malaysia kutuk pembunuhan kejam rejim Zionis terhadap keluarga Ismail Haniyeh
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang kehilangan beberapa ahli keluarganya dalam serangan udara oleh rejim ganas Zionis semalam.
Beliau yang menghubungi Ismail petang tadi turut menzahirkan dukacita atas serangan yang mengorbankan tiga orang anaknya iaitu Hazem, Amir dan Mohammad serta empat orang cucunya.
“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang.
“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ini adalah amat sukar diterima oleh mana-mana manusia,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, serangan berkenaan membuktikan Zionis Israel tidak mempunyai keinginan melakukan gencatan senjata seperti yang telah dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tempoh hari.
Katanya lagi, ia hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia.
“Malaysia menzahirkan kecaman dan kutukan sekeras-kerasnya ke atas rejim biadab Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin.
“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








