Anwar luang masa jalan 500 meter, santuni pengunjung Hari Kebangsaan
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk mendekati rakyat apabila berjalan kira-kira 500 meter sambil menyapa dan menyantuni pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pagi ini.
Perdana Menteri turut melayan sapaan orang ramai di sepanjang laluan, dengan pengunjung mengambil kesempatan bertemu dan beramah mesra bersama pemimpin nombor satu negara.
Sebelum itu, Anwar meluangkan masa menyantuni kira-kira 1,500 peserta Grafik Manusia yang terbabit dalam persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
Selesai menyaksikan persembahan berkenaan, Perdana Menteri mengangkat kedua-dua ibu jari sebagai tanda penghargaan terhadap peserta.
Aksi spontan itu menceriakan suasana apabila peserta turut memberikan respons terhadap penghargaan berkenaan, manakala orang ramai di sekitar lokasi tidak ketinggalan memberikan sorakan dan sokongan.

Kesudian Anwar meluangkan masa berjalan menyantuni pengunjung dan bertemu peserta Grafik Manusia menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, selain memperlihatkan suasana mesra antara pemimpin dan rakyat pada hari penuh bermakna itu.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 membabitkan seramai 10,819 peserta yang terdiri daripada 77 kontinjen dan 22 kumpulan pancaragam.
Turut mengambil bahagian ialah 328 aset darat dan udara, 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan serta 11 kereta berhias.
Kesemua peserta berkenaan mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Sambutan itu turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung menerusi kaca televisyen serta laman media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








