BISNES & EKONOMI

Ekonomi Malaysia: PM dijangka umum dasar dan langkah drastik kerajaan esok

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan dasar dan langkah drastik kerajaan bagi mengatasi pelbagai isu ekonomi termasuk kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham negara, esok.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengumuman itu akan dilakukan semasa lawatan Perdana Menteri ke Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur.

“Biarlah perkara-perkara dasar seperti itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri umumkan.

“Pada pukul 12 tengah hari esok, Perdana Menteri akan melawat Suruhanjaya Sekuriti, dijangka beliau akan umumkan tentang isu-isu berkaitan ekonomi,” kata Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah langkah-langkah diambil kerajaan untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham negara.

Terdahulu, Ahmad mengadakan lawatan ke Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) Johor, di Jalan Abdullah Ibrahim di bandar raya ini, hari ini.

Ketika ini, nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ialah RM4.6 bagi AS$1.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan berkata, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula dibayar kepada 8.4 juta penerima menjelang Hari Raya Aidiladha yang dijangka, 29 Jun ini.

Katanya, sumbangan e-Tunai RM200 kepada golongan belia berumur 18 hingga 21 tahun juga akan diberikan pada minggu ketiga Jun ini.

Mengenai rayuan STR, beliau berkata, ia boleh dibuat di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau secara dalam talian mulai 1 Julai depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button