BERITA SEMASA

Krisis Negeri Sembilan: Anwar mengadap Tuanku Muhriz, sokong supaya Aminuddin teruskan tanggungjawab sebagai MB

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan perlu diselesaikan secara tertib, berlandaskan undang-undang serta semangat muafakat.

Beliau memaklumkan telah menghadap, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir malam tadi bagi membincangkan isu berkenaan selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan baginda dalam menangani perkara tersebut.

Menurut beliau, dalam pertemuan itu, beliau menyokong titah Tuanku agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran yang sah serta kebijaksanaan pihak Undang, sambil menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menekankan bahawa dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan agar terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button