BERITA SEMASA

KPKT peruntuk RM216.44 juta perkasa infrastruktur, kesejahteraan rakyat Johor

JOHOR BAHRU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM216.44 juta kepada Johor bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan perumahan, infrastruktur awam dan kesejahteraan rakyat menerusi Program Pembangunan KPKT di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Johor melalui program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

“Peruntukan RM216.44 juta ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Johor menikmati akses kepada perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang selesa serta persekitaran kehidupan yang lebih mampan dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan.

Simbolik penyerahan peruntukan itu disempurnakan kepada Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dr Mohamed Ali Mohamed Abu Backer yang mewakili Kerajaan Negeri Johor semasa lawatan ke Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Iskandar Puteri.

Menurut beliau, dana berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan perumahan rakyat, penyelenggaraan perumahan strata, kemudahan awam, keselamatan komuniti, pengurusan sisa pepejal, pembangunan bandar dan desa serta program kesejahteraan masyarakat.

kpkt
Kor Ming ketika majlis penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Johor.

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM63.83 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), diikuti Bahagian Perumahan sebanyak RM55.08 juta dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) RM32.9 juta.

Sebanyak RM28.8 juta pula diperuntukkan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), manakala Jabatan Perumahan Negara (JPN) menerima RM14.42 juta.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Residensi Rakyat (PRR), Pembangunan Perumahan Inklusif MADANI (PIM), Program Rumah Mesra Rakyat yang melibatkan 480 unit rumah serta pelaksanaan Rumah Malaysia (Disewa).

Bagi aspek infrastruktur awam, peruntukan akan digunakan untuk menaik taraf Pasar Jalan Ibrahim di Batu Pahat, Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa di Muar, pembinaan Gerai MADANI, naik taraf pasar awam, pengukuhan cerun, sistem perparitan dan penyelenggaraan tandas awam BMW.

Dalam sektor keselamatan awam pula, projek yang dirancang termasuk naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dan Larkin serta kerja awalan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Sentral.

Selain itu, KPKT turut meneruskan pelaksanaan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), Program Baik Pulih Rumah di Bandar dan Projek Pembangunan Kampung Baru bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Bagi memperkukuh agenda pembangunan mampan, kementerian turut menyalurkan peruntukan untuk pengurusan sisa pepejal, penutupan selamat tapak pelupusan, pembangunan landskap awam serta penyediaan pelan dan kajian pembangunan bandar termasuk Kajian Rancangan Struktur Negeri Johor 2040, Kajian Rancangan Tempatan Daerah Tangkak 2040 dan Pelan Induk Pembangunan Endau, Mersing.

Sepanjang lawatan kerja tersebut, Kor Ming turut dijadual meninjau beberapa projek pembangunan dan kemudahan awam di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Kluang dan Batu Pahat.

Beliau menegaskan KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan memberi impak tinggi kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button