BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Hampir 2,000 pelajar Teluk Intan terima manfaat program pendidikan MADANI

TELUK INTAN – Seramai 1,310 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara hampir 2,000 pelajar yang menerima manfaat menerusi Program Nekad Kecemerlangan MADANI (NKM) @Teluk Intan 2026 dan Program Sekolah Angkat MADANI 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan dalam memastikan pembangunan pendidikan dan modal insan terus diberi perhatian.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja membawa perkhidmatan Kerajaan lebih dekat kepada masyarakat, malah memberi sokongan kepada anak-anak kita untuk meningkatkan potensi dan mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni MADANI, NKM@Teluk Intan 2026 di SMK Horley Methodist, di sini hari ini.

Baca juga : KPKT peruntuk RM216.44 juta perkasa infrastruktur, kesejahteraan rakyat Johor

Dilaksanakan menerusi inisiatif Program Santuni MADANI, NKM@Teluk Intan 2026 memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan modal insan melalui tiga komponen utama.

Komponen pertama ialah Karnival Santuni MADANI Teluk Intan yang menghimpunkan pelajar, ibu bapa, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan rakan strategik menerusi pelbagai pengisian termasuk ceramah motivasi, Jualan MADANI, reruai perkhidmatan kerajaan serta pameran peluang pendidikan dan pengajian tinggi.

Bagi Program Kecemerlangan Akademik 2026 pula, program selama enam minggu dari 7 September hingga 15 Oktober itu membabitkan 1,310 calon peperiksaan daripada 12 sekolah di daerah Hilir Perak, merangkumi 1,144 calon SPM dan 166 calon STPM.

Program berkonsepkan ‘pecutan akhir’ itu memberi fokus kepada bimbingan akademik, teknik menjawab soalan serta strategi menghadapi peperiksaan dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman.

Sementara itu, Program Anak Angkat Menteri KPKT 2026 pula membabitkan 100 pelajar terpilih daripada keluarga B40 di Parlimen Teluk Intan.

Mereka akan menerima bimbingan sahsiah dan motivasi secara berterusan bagi membantu meningkatkan potensi diri, membina keyakinan serta mendorong mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Pada program sama, KPKT turut menyempurnakan Program Sekolah Angkat MADANI 2026 menerusi penyerahan Projek Menaik Taraf Anjung Digital SMK Horley Methodist bernilai RM100,000.

Projek yang diterajui Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) itu membabitkan penyediaan peralatan pembelajaran digital moden bagi menyokong keperluan pendidikan berasaskan teknologi.

Selain itu, Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Pasir Damar turut menyumbang RM120,000 bagi tujuan baik pulih beberapa fasiliti dan kemudahan di SMK Horley Methodist.

Pada masa sama, Kor Ming turut menyampaikan sumbangan RM200 kepada setiap 600 pelajar sekolah berkenaan, membabitkan peruntukan berjumlah RM120,000 bagi meringankan beban mereka mendapatkan bahan pembelajaran.

“KPKT kekal komited dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui pendekatan yang inklusif dan berimpak, termasuk menyokong pembangunan pendidikan dan modal insan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button