BERITA SEMASA

Nga Kor Ming jawab isu didesak letak jawatan, gesa kenyataannya dalam akhbar berbahasa Cina dibaca sepenuhnya

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan kenyataannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan seterusnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan menerusi wawancara eksklusif bersama Oriental Daily telah disalah tafsir.

Beliau menegaskan pendirian yang dinyatakannya adalah selaras dengan prinsip yang dipegang sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya, iaitu mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara.

Menurut beliau, sekiranya Najib dilepaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal walaupun telah disabitkan bersalah, ia akan memberi implikasi besar terhadap integriti sistem kehakiman serta prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi teras Rukun Negara.

“Merujuk kepada ada pihak yang mendesak supaya saya letak jawatan, sila baca kenyataan penuh saya semasa wawancara eksklusif bersama Oriental Daily.

“Yang saya nyatakan semasa wawancara tersebut merupakan pendirian saya sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya yang konsisten sepanjang masa iaitu kewibawaan sistem kehakiman negara perlu dipertahankan.

“Jika Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 billion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang sepertimana yg termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati.

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, perkara itu tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama.

Malah tegasnya, beliau kekal berpegang teguh dengan prinsip itu.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan di PRN Johor semalam.

Beliau berkata, pihaknya menghormati proses demokrasi itu.

“Sesungguhnya kemenangan dua pertiga majoriti ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul oleh BN dengan penuh berintegriti.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang menyokong Pakatan Harapan dan petugas serta sukarelawan yang bertungkus lumus untuk memenangi Pakatan Harapan.

“Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada. Pakatan Harapan tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button