Tentera Darat, JPT perkukuh kerjasama pertahanan melalui penubuhan Platun Askar Wataniah di IPT
ARAU – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluas pelaksanaan program pertahanan di institusi pengajian tinggi (IPT).
Kerjasama itu antara lain membabitkan penubuhan sekurang-kurangnya satu Platun Askar Wataniah (AW) di setiap IPT di bawah seliaan JPT, termasuk Universiti Awam (UA), institusi pendidikan tinggi awam dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyertaan AW turut dicadang untuk diiktiraf sebagai aktiviti kokurikulum di IPT, selain penyelarasan tanggungjawab antara kedua-dua pihak dalam aspek latihan dan pengiktirafan akademik.
“Sasaran kemasukan terdiri daripada pelajar program diploma, penerapan dan ijazah yang bukan mengikuti PALAPES, selain kakitangan IPT.
“Kerjasama itu turut membabitkan pelantikan pegawai penghubung antara IPT dan Rejimen Siri 500 (AW), selain penggunaan kemudahan serta fasiliti secara bersama bagi tujuan latihan.
Jadual latihan akan disusun supaya tidak mengganggu aktiviti akademik pelajar yang terlibat,” katanya hari ini.
Bagi peringkat awal katanya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dipilih sebagai IPT untuk pelaksanaan uji cuba di dua kampus cawangannya, iaitu UiTM Dungun, Terengganu dan UiTM Lendu, Melaka, bermula sesi pengambilan September 2026.
Dari segi latihan dan pengiktirafan akademik katanya, kedua-dua pihak akan menyelaras penggunaan silibus latihan standard yang bersesuaian serta menetapkan jumlah jam kredit yang seragam bagi semua IPT yang terlibat.
“Latihan pula boleh dilaksanakan sama ada di IPT atau Rejimen Siri 500 (AW), bergantung kepada kesesuaian.
“Penyelarasan turut merangkumi pelaksanaan latihan tahunan seperti Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) bagi IPT yang menyertai program berkenaan,” katanya.
Kerjasama TDM dan JPT itu dilihat selaras dengan keperluan semasa negara untuk memperkukuh aspek pertahanan menyeluruh melalui institusi pendidikan, termasuk menerusi konsep Professional Military Education (PME) dan prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Ia juga bertujuan membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap aspek keselamatan serta kedaulatan negara.
Melalui pelaksanaan kerjasama itu, graduan diharapkan dapat dibentuk sebagai individu yang berdisiplin, patriotik dan berdaya saing, selain mengukuhkan jaringan antara institusi pendidikan dengan sektor pertahanan negara.
Pada masa sama, penyertaan tenaga muda dalam AW dijangka dapat menyumbang kepada kesiapsiagaan nasional menerusi penglibatan golongan berilmu dan berwawasan.
Perkhidmatan dalam AW juga akan diteruskan sehingga tamat tempoh perkhidmatan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








