DBKL peruntuk RM6.67 juta naik taraf PPR Taman Mulia, manfaat 2,128 penduduk
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM6.67 juta bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak, yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,128 penduduk.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan serta kualiti persekitaran kediaman penduduk, khususnya selepas bangunan berkenaan beroperasi lebih dua dekad.
Beliau berkata, PPR Taman Mulia yang dibina pada 2002 mempunyai 912 unit kediaman membabitkan dua blok bangunan setinggi 21 tingkat.
“Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM3.48 juta disediakan untuk kerja mengecat bangunan, manakala RM2.55 juta diperuntukkan bagi penggantian kabel Sub-Main Cable dan Papan Suis Utama (Main Switch Board) bagi meningkatkan keselamatan serta keandalan bekalan elektrik.
“Selain itu, RM370,000 disalurkan untuk kerja turapan jalan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pergerakan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM272,000 lagi diperuntukkan bagi pemasangan sistem pencegahan kebakaran sebagai langkah memperkukuh perlindungan penghuni serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Terdahulu Hannah mengadakan lawatan turun padang ke PPR Taman Mulia hari ini bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi meninjau pelaksanaan kerja penambahbaikan berkenaan.
Lawatan itu turut merangkumi tinjauan ke kebun komuniti yang menjadi ruang interaksi sosial serta aktiviti kemasyarakatan dalam kalangan penduduk.
Dalam pada itu, PPR Taman Mulia diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) pada 1 Disember 2025, dengan pengurusan bangunan kini dikendalikan oleh ejen pengurusan yang dilantik bagi menyelaras urusan pentadbiran dan penyelenggaraan.
DBKL turut menekankan kepentingan kerjasama antara pihak pengurusan dan penduduk bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dipelihara serta dimanfaatkan dalam jangka panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








