BERITA SEMASASUKAN

Roblox janji tingkat keselamatan kanak-kanak guna AI – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Platform permainan dalam talian popular, Roblox memberi jaminan untuk mempertingkatkan keselamatan kanak-kanak melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan pemantauan manusia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya telah menyuarakan kembimbangan itu kepada pihak Roblox.

“Mereka juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia terutamanya melibatkan perkongsian data dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesan permainan dalam talian terhadap tingkah laku dan emosi kanak-kanak yang menggunakan aplikasi popular tersebut.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak.

“Kita mahu dunia digital yang bukan saja menyeronokkan, tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang,” katanya.

roblox
Aplikasi permainan digital Roblox mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih 1 juta di Malaysia. – Gambar hiasan 

Tambah Hannah, platform Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk lebih 1 juta di Malaysia.

“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya lagi.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun parah apabila lehernya dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dipetik berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa mungkin mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainnya terganggu dan semua ‘point’ dikumpulnya hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button