Hannah Yeoh tegaskan kaum, warna kulit bukan penentu keupayaan memimpin
PUTRAJAYA – Isu kaum dan warna kulit tidak pernah menjadi penghalang dalam melaksanakan amanah kepada rakyat, tegas Hannah Yeoh pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Menurut Hannah, sepanjang perjalanan politik dan pentadbirannya sejak 2008, keutamaan beliau sentiasa berpaksikan dasar, pelaksanaan serta hasil kepada rakyat tanpa mengira latar belakang, sekali gus menolak sebarang tanggapan bahawa faktor perkauman menjadi penentu kepada keupayaan seseorang memimpin.
“Sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Segambut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mahupun Menteri Belia dan Sukan, fokus saya sentiasa kepada khidmat untuk rakyat. Rekod pencapaian akan bercakap dengan sendirinya,” katanya.
Hannah yang sebelum ini merupakan Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam sidang media selepas pertama kali melakukan sesi merakam masuk kerja (clock-in) di bangunan kementerian beliau di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi dan para pegawai Jabatan Wilayah Persekutuan atas sambutan yang diberikan, sambil menegaskan komitmennya untuk memimpin dengan ketelusan, tanggungjawab serta kefahaman mendalam terhadap realiti masyarakat bandar.
Hannah berkata, tumpuan pentadbirannya akan menjurus kepada usaha memperkukuh kualiti perkhidmatan awam, memacu pembangunan mampan, melindungi ruang hijau dan rekreasi, selain mempertingkat langkah mitigasi banjir selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan latar belakang perundangan yang dimiliki beliau dan Timbalan Menteri, Datuk Lo Su Fui sebagai satu kelebihan penting dalam memastikan tadbir urus yang baik serta proses membuat keputusan yang berkualiti.
Pelantikan Timbalan Menteri dari Sabah itu juga, katanya, mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memberi perhatian lebih seimbang kepada Labuan, khususnya dalam memastikan wilayah itu menerima sokongan sewajarnya.
Beliau menegaskan, segala keputusan dasar berkaitan Wilayah Persekutuan akan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri.
Mengulas pendekatan pentadbiran, Hannah berkata, kerjasama erat dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan akan menjadi keutamaan kerana merekalah yang paling memahami keperluan dan denyut nadi rakyat di kawasan masing-masing.
“Suara rakyat adalah suara keramat dan itulah asas pentadbiran berteraskan demokrasi yang tulen,” katanya.
Hannah turut menggariskan visinya untuk memaksimumkan potensi Wilayah Persekutuan dengan Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran dan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir, agar wilayah-wilayah ini menjadi contoh bandar yang bersih dari segi nilai dan fizikal, selamat serta selesa untuk didiami, bekerja dan menikmati kehidupan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








