MINDEF sambut baik peruntukan pertahanan meningkat kepada RM22.11 bilion
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, belanjawan itu mencerminkan semangat Waad Nasional, iaitu ikatan amanah dan tanggungjawab antara kerajaan dengan rakyat, berpaksikan lapan lunas utama bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta masa depan negara terus dipelih
Katanya, MINDEF akan memastikan setiap peruntukan diurus secara telus, berhemah dan berkesan bagi memperkukuh kesiapsiagaan ATM serta memelihara kebajikan anggota, keluarga dan veteran.
“Pertahanan negara adalah amanah besar yang mesti terus dipelihara demi keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan masa depan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : Belanjawan 2027: Hampir 59,000 pesara, veteran ATM terima manfaat kenaikan pencen
Terdahulu, menerusi Belanjawan MADANI 2027, Perdana Menteri mengumumkan kadar pencen minimum pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 59,000 penerima termasuk pesara tentera dan penerima pencen terbitan.
Mohamed Khaled berkata, peningkatan itu antara langkah yang mencerminkan perhatian kerajaan terhadap kebajikan veteran ATM menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM22.11 bilion bagi 2027, meningkat RM361.95 juta atau 1.66 peratus berbanding tahun ini.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM14.523 bilion disediakan bagi Perbelanjaan Mengurus, manakala RM7.585 bilion lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan.
“Sebanyak RM5.34 bilion turut diperuntukkan bagi aset pertahanan bagi memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan ATM dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan selepas pengumuman Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi aspek kebajikan anggota, Khaled berkata, sebanyak RM957.30 juta disediakan bagi perumahan ATM bagi memastikan anggota dan keluarga memperoleh kemudahan kediaman yang lebih baik, selesa serta kondusif.
“Bagi veteran ATM pula, peruntukan pengurusan sebanyak RM304 juta disediakan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV),” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








