BERITA SEMASA

Ramai ziarah pusara bukti Tun Dr Siti Hasmah insan banyak berjasa – PU Amin

PUTRAJAYA – Kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus menziarahi pusara Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali membuktikan kesan besar yang ditinggalkan Allahyarhamah sebagai seorang insan yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Pendakwah, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, keadaan itu selari dengan ajaran Nabi Muhammad SAW bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

pusara tun hasmah
PU Amin turut hadir menziarahi pusara Tun Dr Siti Hasmah di Putrajaya hari ini. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Apabila kita melihat kehadiran orang yang tidak putus-putus menziarahi makam Allahyarhamah, ia menunjukkan bahawa orang yang bermanfaat ini memberikan kesan besar dalam hidup kita.

“Sebab itu dalam hidup ini, jadilah orang yang bermanfaat walaupun siapapun kita. Daripada sekecil-kecil darjat sehingga setinggi-tinggi darjat, mesti ada kebaikan yang kita lakukan,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas menziarahi pusara Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini hari ini.

Menurutnya, ramai yang hadir menziarahi pusara Allahyarhamah terdiri daripada individu yang jauh dan ada antaranya tidak pernah mengenalinya secara dekat, namun tetap hadir untuk memberikan penghormatan serta mendoakan kesejahteraannya.

pusara tun hasmah
Orang ramai yang hadir menziarahi pusara Tun Dr Siti Hasmah pagi ini.

Katanya, keadaan itu memperlihatkan betapa besar jasa Allahyarhamah yang sekian lama berjuang, khususnya dalam bidang kesihatan dan perlindungan wanita.

“Saya percaya ramai yang hadir di sini adalah orang yang mengambil ataupun terhutang budi dengan kebaikan yang datang daripada Allahyarhamah yang berjuang sekian lama untuk memperbaiki kesihatan dan perlindungan, khususnya golongan wanita.

“Saya tengok ramai yang datang, yang tidak kenal dan yang datang dari jauh. Subhanallah, sebenarnya doa-doa seperti ini adalah doa-doa yang ajaib. Nabi SAW kata 40 orang yang berdoa, wajib satu akan dimakbulkan. Apatah lagi hari ini ribuan orang datang,” katanya.

Tambah PU Amin, kehadiran ribuan individu untuk mendoakan Allahyarhamah juga menjadi antara bentuk kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

“Moga-moga kita pun dapat pengakhiran yang seperti ini, khusnul khatimah. Insya-Allah, kita doakan Allahyarhamah ditempatkan bersama seluruh isi keluarganya di dalam syurga Allah SWT,” katanya.

Mengimbas kenangan bersama Allahyarhamah, PU Amin berkata, beliau beberapa kali berpeluang menyertai program keagamaan yang turut dihadiri isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Katanya, Allahyarhamah merupakan seorang yang sentiasa ingin bertanya dan mendalami persoalan agama, selain tidak pernah memandang kedudukan atau usia seseorang ketika menuntut ilmu.

tun hasmah
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggalkan legasi tersendiri untuk dicontohi golongan wanita sebagai isteri yang baik dan ibu anak bangsa.

“Allahyarhamah seorang yang suka bertanya dan mahu mendalami soal agama. Lebih-lebih lagi walaupun kami di kalangan orang yang muda, Allahyarhamah tidak meminggirkan atau menyisihkan kami.

“Dia mahu mendapatkan ilmu, maklumat dan informasi daripada kami yang boleh membantu beliau belajar,” katanya.

Menurutnya, sikap ingin terus belajar walaupun sudah mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat merupakan sifat yang wajar dicontohi.

“Dia sudah ada kedudukan yang tinggi, ilmu yang banyak, tetapi dia tetap mahu belajar. Sifat mahu belajar itu yang buatkan saya rasa sangat terharu.

“Moga-moga apa sahaja ilmu yang ada padanya dapat kita amalkan dan apa yang disampaikan kepada beliau juga memberikan pahala kepada kita bersama,” katanya.

Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu pada usia 100 tahun. Jenazahnya dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button