Panglima TDM seru warga Tentera Darat terus bersatu, perkukuh perpaduan dan tingkat prestasi
KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Datuk Azhan Md Othman menyeru seluruh warga Tentera Darat agar terus bersatu dan memperkukuh perpaduan.
“Warga TDM perlu terus menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi bagi memastikan TDM kekal sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 secara rasmi berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan beliau selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
Majlis Pemakaian Pangkat Azhan telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan Markas TDM, latar belakang kepimpinan serta pengalaman luas Azhan diyakini mampu memastikan kesinambungan kepimpinan warganya sekali gus memperkukuh tahap kesiapsiagaan angkatan itu sebagai teras pertahanan negara.
Dalam pada itu, Azhan turut merakamkan sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan.
“Aspek integriti, tadbir urus yang telus dan pembudayaan nilai-nilai ketenteraan yang luhur akan terus diperkukuhkan sebagai teras kepimpinan dengan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan – Strategi Domain Daratan yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan,” katanya.
Beliau turut menegaskan agenda kesejahteraan anggota serta keluarga Tentera Darat akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warga angkatan sentiasa terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








