LUAR NEGARA

Gempa bumi di Pulau Flores ragut 2 nyawa setakat ini

JAKARTA – Sekurang-kurangnya dua orang maut selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda perairan berhampiran Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, awal pagi tadi.

Gempa berlaku pada pukul 4.58 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa dikesan kira-kira 30 kilometer timur laut Mbay, Kabupaten Nagekeo, pada kedalaman sekitar 15 kilometer.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) pada awalnya merekodkan gempa itu pada magnitud 7.0 sebelum mengemas kini kekuatannya kepada 7.7.

Gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan wilayah pentadbiran NTT, menyebabkan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing serta berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan Reuters, dua mangsa disahkan meninggal dunia di Kabupaten Sikka, manakala sekurang-kurangnya seorang lagi cedera.

Beberapa bangunan turut dilaporkan rosak teruk termasuk sebuah bangunan pelabuhan di Maumere, manakala sebuah hospital di Ende terpaksa memindahkan pesakit ke kawasan luar bangunan sebagai langkah keselamatan.

Gegaran susulan turut dilaporkan berlaku selepas gempa utama, selain kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi.

BMKG turut mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan berpotensi terjejas, namun amaran itu kemudian ditamatkan selepas pemantauan mendapati perubahan paras laut tidak mencapai tahap membimbangkan.

Pihak berkuasa bagaimanapun mengingatkan penduduk supaya berwaspada terhadap gempa susulan dan menjauhi bangunan yang mengalami kerosakan.

Gempa berkenaan turut dirasai di beberapa wilayah lain di Indonesia, termasuk Nusa Tenggara Barat dan sebahagian Sulawesi Selatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button