BERITA SEMASA

Bukan enggan bahas RCI Tabung Haji, mahu PM hadir jawab persoalan – Idris

TUMPAT – Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menjelaskan keputusan beliau bersama 14 Ahli Parlimen lain meninggalkan Dewan Rakyat ketika perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) bukan kerana enggan membahaskan laporan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, pembangkang mahu perbahasan itu berlangsung dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan persoalan berkaitan laporan RCI dijawab secara langsung.

Katanya, 15 Ahli Parlimen yang sepatutnya mengambil bahagian dalam perbahasan itu sudah membuat persiapan termasuk mengadakan sesi meja bulat bagi meneliti laporan berkenaan.

“Kami memang sudah bersedia, sudah buat satu sesi meja bulat dari petang Isnin sampai malam dan 15 orang ini sudah faham. Saya salah seorang yang akan bercakap dan diberi masa lapan minit.

“Keputusan malam itu, kami mahu bahas di hadapan Perdana Menteri kerana beliau merupakan subjek utama,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Tumpat di Kampung Sedar, di sini semalam.

Menurutnya, pembangkang turut memaklumkan pendirian supaya persidangan khas berhubung perkara itu ditangguhkan berikutan ketidakhadiran Perdana Menteri, namun permintaan berkenaan tidak diterima.

Beliau berkata, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengemukakan cadangan untuk meneruskan sesi pembahasan, pembangkang mengambil keputusan meninggalkan Dewan Rakyat.

Pada 11 Ogos lalu, sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permintaan supaya persidangan khas berkenaan ditangguhkan.

Idris berkata, laporan RCI itu masih boleh dibahaskan pada persidangan akan datang, termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini.

“Tak apa, boleh bahas bila-bila pun sebab Parlimen juga ada. Oktober nanti ketika bajet, perkara dasar boleh dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Idris mempersoalkan tindakan membentangkan laporan RCI berkenaan sebagai penerangan Menteri di Parlimen, bukannya melalui perbahasan penuh.

Beliau berkata, kaedah berkenaan berbeza dengan pengendalian beberapa laporan RCI lain yang pernah dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

“RCI ini sudah siap hampir empat tahun, ditubuhkan pada zaman Perikatan Nasional ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, tetapi ditubuhkan jawatankuasa pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketika itu saya menjadi Menteri Agama,” katanya.

Idris berkata, sepanjang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau tidak mencampuri perjalanan siasatan RCI berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada jawatankuasa yang dilantik.

“Saya pun tidak tanya sepatah pun berkenaan perjalanan RCI itu, saya beritahu mereka buatlah kerja, yang penting kita mahu dapatan,” katanya.

Menurutnya, perkara paling penting ketika ini ialah memastikan dapatan RCI berkenaan dibincangkan secara terbuka serta tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat pihak yang didapati melakukan kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button