BERITA SEMASA

BERSATU dukacita PAS putus hubungan kerjasama, tegaskan terus kekal dalam PN

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan PAS untuk menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan parti itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut merupakan kehendak PAS sendiri dan diterima oleh parti itu dengan penuh hormat.

Beliau menegaskan bahawa sebagai parti pengasas Perikatan Nasional (PN), BERSATU akan terus kekal dalam gabungan tersebut serta memperkukuhkan teras perjuangannya demi kepentingan rakyat dan negara.

“BERSATU akan terus memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa oleh PN sejak penubuhannya, di samping menyokong aspirasi rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili seluruh lapisan masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin turut menyeru seluruh pimpinan, ahli parti dan rakan seperjuangan agar kekal fokus dalam usaha memperkukuhkan PN serta terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, meskipun berdepan cabaran politik terkini.

“Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaharu ini,” katanya.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa penyokong yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama perjuangan gabungan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button