Sanusi calon terbaik terajui PN – Ketua Pemuda PAS Selangor
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sebagai pilihan paling tepat untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai pengerusi baharu, ketika gabungan itu berdepan keperluan mendesak melakukan pembaharuan kepimpinan selari dengan landskap politik semasa negara.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sokongan penuh dan terbuka terhadap pencalonan Menteri Besar Kedah itu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Menurut sayap parti itu, PN memerlukan suntikan kepimpinan baharu yang lebih segar, berani dan berprinsip bagi menghadapi cabaran besar politik semasa serta memenuhi harapan rakyat.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi telah membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin berpengalaman, khususnya menerusi rekod pentadbiran beliau di Kedah.
“Beliau berani mempertahankan hak rakyat dan negeri, selain konsisten menyuarakan tuntutan seperti isu royalti air mentah walaupun berhadapan tentangan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan pusat,” menurut kenyataan itu.
Mohamed Sukri berpandangan, PN memerlukan seorang pemimpin yang bukan sekadar lantang berucap, sebaliknya memiliki keberanian politik dan ketegasan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa bersifat retorik.
Selain itu, Muhammad Sanusi turut disifatkan mempunyai karektor unik yang mampu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat serta latar belakang, sekali gus memberi nilai tambah kepada imej PN.
“Hubungan rapat beliau dengan rakyat dan akar umbi, khususnya golongan muda, merupakan kekuatan penting dalam usaha menarik sokongan generasi muda menghadapi cabaran politik akan datang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Dewan Pemuda Pas Selangor turut menegaskan keteguhan prinsip Muhammad Sanusi yang dilihat tidak gentar berhadapan tekanan, ugutan mahupun serangan politik dalam mempertahankan kebenaran.
“PN memerlukan jurubicara pembangkang yang tegas, berani dan konsisten menegur kelemahan kerajaan demi kepentingan rakyat, tanpa rasa takut atau terikat dengan tekanan politik,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, sayap PAS Selangor itu menegaskan sokongan terhadap pencalonan Muhammad Sanusi tidak bermaksud menafikan jasa dan sumbangan Muhyiddin sepanjang beliau menerajui PN.
Sebaliknya, Mohamed Sukri menegaskan gabungan itu tidak boleh terus dibuai nostalgia, sebaliknya perlu bergerak ke hadapan dengan kepimpinan yang lebih segar, matang dan berdaya saing demi masa depan rakyat dan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







