POLITIK

Pengalaman, jentera kukuh jadi kelebihan BN di PRN Sabah

SANDAKAN – Pengalaman luas serta persiapan rapi jentera Barisan Nasional (BN) dilihat menjadi antara kelebihan utama parti itu dalam usaha meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengalaman UMNO menghadapi pelbagai siri pilihan raya selain sokongan jentera daripada negeri lain termasuk Kedah mampu mengukuhkan peluang BN di Sabah.

“Jentera BN Kedah akan digerakkan sepenuhnya, khususnya bagi memastikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Libaran dan Batu Sapi.

“Berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun di Sabah, parti ini telah banyak menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan pendidikan di semua peringkat supaya tiada anak Sabah terpinggir daripada akses pendidikan.

“BN juga mengambil inisiatif memastikan pembangunan pendidikan dilaksanakan secara berterusan.

“Kami berharap pengundi memberi peluang sekali lagi kepada BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri ini,” memetik laporan Awani online.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada usaha menaik taraf sekolah daif dan pembinaan asrama di kawasan pedalaman supaya murid tidak tercicir dalam pelajaran.

“Wakil rakyat juga perlu memainkan peranan penting memastikan anak-anak Sabah memanfaatkan peluang pendidikan melalui pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai tarikh penamaan calon, 25 November bagi pengundian awal dan 29 November sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button