Tiada keperluan kurangkan agihan kerusi Amanah dalam PH – Mahfuz
PETALING JAYA – Tiada keperluan untuk mengurangkan agihan kerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan prestasi kurang memberangsangkan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, setiap keputusan pilihan raya akan melalui proses penilaian bagi mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki strategi parti.
Bagaimanapun, katanya, proses post mortem itu tidak seharusnya dikaitkan dengan pengurangan jumlah kerusi yang bakal ditandingi AMANAH.
“Kita akan membuat penilaian (post mortem) terhadap pilihan raya negeri. Ini menjadi lumrah kepada setiap parti politik.
“Negeri-negeri lain juga menyaksikan banyak parti mengalami kekalahan. Jadi, tidak timbul isu pengurangan pengagihan kerusi dan sebagainya.
“Pengagihan kerusi akan dibuat secara bersama oleh semua parti PH. AMANAH itu sebahagian daripada PH. Macam mana PH nak beri kerusi Amanah kepada orang lain. PH sahaja yang akan buat keputusan,” memetik Utusan online.
Pada PRN Johor, PH meletakkan 19 calon daripada AMANAH, namun hanya seorang calon parti itu berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.
Sementara itu, dalam PRN Negeri Sembilan, AMANAH gagal memenangi mana-mana daripada sembilan kerusi yang dipertandingkan.
Keputusan itu mencetuskan persoalan mengenai tahap sokongan pengundi terhadap AMANAH serta kedudukan parti itu dalam PH menjelang PRU16.
Mengulas dakwaan bahawa DAP berkemungkinan meninggalkan Kerajaan Perpaduan, Mahfuz berkata perkara itu masih belum diputuskan parti berkenaan.
“DAP belum membuat keputusan lagi, jadi kita tunggu keputusan DAP terlebih dahulu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








