BERITA SEMASA

Khianati amanah dana kerajaan, tindakan tegas menanti – Anwar

KAJANG – Mana-mana pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus dana kerajaan dan didapati menyalahgunakan amanah akan berdepan tindakan tegas termasuk ditangkap serta didakwa di mahkamah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap agensi pembiayaan keusahawanan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu memastikan dana disalurkan kepada golongan yang layak tanpa ketirisan atau penyelewengan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, dana berkenaan merupakan wang amanah yang perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.

“Jaga betul-betul… ini wang amanah. Kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa. Ini baru boleh selamat negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas kemampuan kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan kepada rakyat, Anwar berkata, ia didorong pengurusan kewangan negara yang lebih cekap, telus dan bebas daripada amalan rasuah.

Katanya, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM16 bilion pada tahun depan, manakala pelarasan gaji penjawat awam bernilai RM18 bilion yang dilaksanakan tahun ini turut mencerminkan keupayaan fiskal kerajaan.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu dapat dilaksanakan apabila wang negara diurus dengan baik tanpa kebocoran, penyelewengan dan rasuah.

“Ada orang pertikai macam mana boleh peruntukan bertambah? Sebab dia tak bocor, sebab tak sakau, sebab tak rasuah… insya-Allah ada berkat dan kita tolong rakyat, itu tujuan kita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan rakyat di mana-mana negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang, sekali gus menolak dakwaan berlaku diskriminasi dalam penyaluran bantuan dan peruntukan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button