PM yakin barisan baharu perkukuh kerjasama Sabah–Persekutuan
KUALA LUMPUR – Pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah bagi penggal lima tahun akan datang disifatkan sebagai manifestasi kematangan politik dalam meneruskan agenda pembangunan secara lebih tersusun.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin barisan kepemimpinan baharu itu mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sekali gus memastikan aspirasi rakyat Sabah dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
“Pejabat Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Hajiji Noor atas pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam menangani pelbagai isu strategik termasuk pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan akan terus berganding bahu dengan kepemimpinan Sabah dalam semangat MADANI bagi memastikan pembangunan negeri itu dilaksana secara menyeluruh, inklusif dan mampan.
Tunku Nashrul memaklumkan Perdana Menteri dijadualkan ke Sabah petang esok bagi menghadiri Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Selain bertemu rakyat, Anwar turut dijangka mengadakan sesi pertemuan bersama Hajiji serta barisan Menteri Kabinet Sabah yang baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








