Nak bawa usul undi tidak percaya, silakan – Anwar kepada pembangkang
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk berdepan usul undi tidak percaya sekiranya pihak pembangkang ingin membawa perkara itu ke Parlimen.
Menurut Anwar, perkara tersebut bukan baharu malah sudah beberapa kali dibangkitkan sejak tiga tahun lalu.
“Ada cadangan (oleh) Datuk Seri Hamzah Zainudin nak bawa undi tidak percaya.
“Silakan, kita terbuka. Ini proses yang betul, dia (mahu) bawa, sila bawa. Dia kata nak bawa dah tiga tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat dalam program Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Baca juga : Kerap tukar kerajaan bukan cara Islam, ulama mahu pentadbiran Anwar kekal
Semalam, media melaporkan bahawa Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Hamzah dilaporkan berkata, usul berkenaan sedang dipertimbang untuk dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berasingan menjelaskan parti itu setakat ini tidak bercadang untuk membawa usul tersebut.
Isnin lalu, Anwar turut mencabar pihak pembangkang agar membawa usul undi tidak percaya ke Dewan Rakyat yang mula bersidang minggu ini.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya bersedia menerima sebarang keputusan sekiranya pembangkang memiliki sokongan mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








