Cuba seludup kokain, lelaki naiki penerbangan dari Malaysia ditahan di Hong Kong
CYBERJAYA – Seorang lelaki yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Rabu lalu kerana dikesan cuba menyeludup kira-kira 1kg kokain yang disorokkan dalam kasutnya.
Pihak Kastam Hong Kong memaklumkan, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan ke atas penumpang yang baru tiba di lapangan terbang berkenaan.
“Ketika pemeriksaan, pegawai kastam menemukan kira-kira 1kg bahan disyaki kokain dalam kasut dipakai lelaki berkenaan sebelum ditahan.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai HKD600,000 (RM311,000) dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di laman web agensi berkenaan.
Tangkapan itu menyusul beberapa kes menggunakan modus operandi sama, dengan kes terakhir seorang lelaki warga China berusia 29 tahun ditahan di Hong Kong kerana cuba menyeludup 1kg kokain disembunyikan dalam kasutnya setibanya dari Kuala Lumpur pada 16 Sept lalu.
Dua kes sama pada 7 dan 15 Julai lalu turut membabitkan kira-kira 1kg kokain dirampas daripada penumpang tiba dari Kuala Lumpur, selepas dua lagi penumpang dari Kuala Lumpur ditahan pada 17 Mei lalu dengan 820g dan 800g kokain ditemui dalam kasut mereka.
Pihak Kastam Hong Kong seterusnya mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima tawaran atau arahan pihak lain membawa barangan terkawal masuk atau keluar dari Hong Kong bagi mendapatkan ganjaran wang.
Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan denda HKD5 juta (kira-kira RM2.59 juta), jika sabit kesalahan mengedar dadah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














