Juruterbang ditahan di Indonesia dipercayai aktif menyeludup dadah ke beberapa negara sejak 2024
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, juruterbang Malaysia yang ditahan kerana menyeludup lebih 26 kilogram (kg) dadah ke Indonesia akhir bulan lalu dipercayai sudah beberapa kali berbuat demikian ke beberapa negara sejak 2024.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dapatan itu hasil soal siasat pasukannya terhadap juruterbang berkenaan di Jakarta.
“Dia terbabit sejak 2024 dengan peranannya membawa dadah keluar dari negara ke beberapa destinasi mengikut jadual penerbangannya.
“Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya, hari ini.
Hussein menambah, juruterbang berkenaan turut mendedahkan maklumat mengenai beberapa sindiket dadah di Malaysia dan negara lain, termasuk Indonesia.
Beliau berkata, PDRM akan menjalankan siasatan lanjut terhadap anggota sindiket yang dikenal pasti, termasuk meneliti aliran kewangan berkaitan penjualan dadah.
Maklumat mengenai rangkaian sindiket antarabangsa itu turut akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan dadah di negara berkaitan.
Siasatan turut mendapati, tiada petunjuk menunjukkan pembabitan orang dalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika juruterbang itu melepasi pemeriksaan.
“Hasil soal siasat mendapati tiada petunjuk menunjukkan pembabitan orang dalam di KLIA.
“Ini bermaksud dia bertindak secara solo ketika melepasi pemeriksaan dan perkara itu perlu diperhalusi bagi mengetahui bagaimana dadah berkenaan tidak dapat dikesan,” katanya lagi.
Hussein bagaimanapun tidak mendedahkan kaedah yang digunakan juruterbang itu untuk melepasi pemeriksaan bagi memastikan proses siasatan tidak terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







