JENAYAH & MAHKAMAH

Penemuan jasad dililit jaring, polis tahan 3 lelaki

BATU PAHAT – Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan berkaitan penemuan jasad dibungkus dan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, dekat sini, semalam

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan jasad berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan kecederaan berupa luka di bahagian pinggang dan lengan.

“Jasad mangsa turut dibungkus serta dililit dengan jaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan tiga lelaki di sekitar Batu Pahat.

“Semakan rekod jenayah lampau terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis turut merampas lima telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, beliau tidak menolak kemungkinan jasad itu adalah lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang, bulan lalu.

Jelas beliau, pengecaman awal dibuat waris terdekat berdasarkan pakaian serta barangan milik mangsa yang ditemui bersama mayat berkenaan.

Pada 29 Julai lalu, seorang wanita warga membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Johor.

Katanya, laporan berkenaan sebelum ini diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri pengurusan (orang hilang).

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada isu hutang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button