MITI buka siasatan anti-lambakan import produk keluli dari China, Taiwan dan Vietnam
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memulakan siasatan duti anti-lambakan terhadap import produk gulungan rata keluli aloi lain dan keluli bukan aloi yang disadur atau disalut aluminium serta zink dari China, Taiwan dan Vietnam.
MITI dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu dimulakan susulan petisyen yang dikemukakan pengeluar tempatan, NS BlueScope Malaysia Sdn Bhd pada 19 Jun lalu.
Menurut kementerian itu, syarikat berkenaan mendakwa produk terbabit diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah daripada harga jualan domestik di negara asal, sekali gus menyebabkan amalan lambakan.
Selain itu, pempetisyen turut mendakwa peningkatan import produk berkenaan dari ketiga-tiga negara telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan.
“Selepas menilai maklumat dan bukti berkaitan dakwaan lambakan, kecederaan serta hubungan kait antara kedua-duanya, kerajaan memutuskan untuk memulakan siasatan duti anti-lambakan mengikut Seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) serta Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994,” menurut kenyataan itu.
MITI berkata, tempoh penentuan kecederaan (Period of Injury Determination – POID) bagi siasatan meliputi 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, manakala tempoh penyiasatan (Period of Investigation – POI) ditetapkan dari 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Menurut kementerian itu, penentuan awal siasatan akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh siasatan dimulakan.
Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang diperlukan bagi mengelakkan kemudaratan berterusan terhadap industri tempatan.
MITI turut memaklumkan semua maklumat, jawapan soal selidik dan dokumen sokongan hendaklah dikemukakan secara elektronik menerusi Sistem Pengurusan Siasatan Remedi Perdagangan (TRIMA) selewat-lewatnya pada 17 Ogos 2026.
“Sekiranya pihak berkepentingan tidak memberikan maklumat yang diperlukan atau maklumat dan pandangan tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal atau penentuan muktamad berdasarkan fakta sedia ada selaras dengan seksyen 41 Akta 504,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








