Hari Biasiswa 2026 himpun lebih 20 agensi penaja
MELAKA – Lebih 20 agensi penaja dari dalam dan luar negara bakal dihimpunkan di bawah satu bumbung menerusi penganjuran Hari Biasiswa 2026 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hujung minggu ini.
Program itu memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat secara terus, khidmat konsultasi serta meneroka pelbagai peluang penajaan bagi melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
KPT menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Hari Biasiswa 2026 akan berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Ayer Keroh, di sini.
Menerusi program berkenaan, pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil agensi penaja bagi mendapatkan maklumat berkaitan syarat, bidang pengajian dan peluang penajaan yang ditawarkan.
Selain itu, khidmat konsultasi UPUOnline secara bersemuka turut disediakan bagi membantu pelajar mendapatkan panduan mengenai laluan pengajian serta membuat semakan kelayakan permohonan.
Hari Biasiswa 2026 turut menampilkan demonstrasi kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkenaan.
Program tersebut terbuka kepada orang ramai, khususnya pelajar yang sedang merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
KPT menyeru orang ramai mengambil kesempatan hadir ke Hari Biasiswa 2026 bagi mendapatkan maklumat dan meneroka peluang penajaan yang tersedia daripada pelbagai agensi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








