BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

PM arah siasatan telus kes tembak mati di Melaka

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan terperinci dijalankan berhubung kes tiga penjenayah ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Menurut Anwar, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail supaya memastikan siasatan dijalankan secara secara telus, terbuka dan tanpa melindungi sesiapa.

“Kerajaan tidak melindungi penjenayah, tetapi pada masa sama kita juga tidak boleh melindungi apa-apa tindakan oleh polis yang bertentangan dengan proses undang-undang.

“Kita mengalu-alukan ketegasan polis bertindak terhadap penjenayah namun beberapa aduan berkaitan hal yang bercanggah prosedur undang-undang perlu disiasat secara teratur,” katanya memetik laporan Kosmo!

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, di sini, hari ini.

Anwar berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet dan beliau telah meminta Ketua Polis Negara menyampaikan laporan terperinci dan telus kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau tidak akan mencampuri urusan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun menekankan bahawa apa juga isu yang bercanggah dengan prosedur mesti disiasat secara terbuka.

“Umpamanya, kematian dalam tahanan atau kes penembakan. Saya tidak campur dalam bagaimana operasi harus dilaksanakan, tetapi saya gusar jika ada peraturan yang tidak dipatuhi,” katanya.

Sebelum ini, MIC dan Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas berhubung kejadian tiga suspek ditembak mati selepas mencederakan anggota polis dalam insiden pada 24 November lalu di Durian Tunggal.

Gesaan itu disuarakan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, serta Presiden Majlis Peguam, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, menerusi kenyataan berasingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button