California umum Aidilfitri, Aidiladha cuti rasmi negeri
SACRAMENTO – California secara rasmi mengiktiraf Aidilfitri dan Aidiladha sebagai cuti negeri menerusi undang-undang baharu yang ditandatangani Gabenor Gavin Newsom, sekali gus menjadikan kedua-dua perayaan utama umat Islam itu sebahagian daripada kalendar rasmi negeri berkenaan.
Undang-undang menerusi Assembly Bill 2017 (AB 2017) yang ditandatangani Newsom pada 27 September lalu menetapkan hari pertama bulan Syawal sebagai Aidilfitri, manakala 10 Zulhijah dalam kalendar Islam sebagai Aidiladha.
Bagaimanapun, pengiktirafan itu tidak bermakna semua sekolah, pejabat kerajaan atau premis perniagaan di California diwajibkan ditutup pada kedua-dua hari berkenaan.
“Undang-undang berkenaan mengekalkan kuasa tempatan, termasuk membolehkan sekolah awam dan kolej komuniti ditutup menerusi persetujuan di peringkat daerah.
“Bagi kakitangan negeri pula, undang-undang itu membolehkan cuti atau kredit cuti sedia ada digunakan untuk menyambut Aidilfitri dan Aidiladha, tertakluk kepada peraturan pekerjaan serta perjanjian yang berkaitan,” lapor media antarabangsa.
Langkah itu bertujuan memberi ruang kepada umat Islam menunaikan tuntutan dan sambutan perayaan tanpa pertindihan dengan komitmen pekerjaan atau pendidikan.
Aidilfitri menandakan berakhirnya Ramadan, manakala Aidiladha disambut pada musim haji dan jatuh pada 10 Zulhijah.
California menjadi negeri kedua di Amerika Syarikat yang mengiktiraf kedua-dua perayaan itu sebagai cuti negeri selepas Washington membuat langkah sama pada 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








